Penyanyi Haqiem Rusli mohon maaf dan minta diberi peluang kedua untuk membaiki diri dan jadi orang lebih matang.

Dia mengaku kekecohan yang berlaku bila dia mengatakan mahu bersara, alami kemurungan, batalĀ  bersara diikuti pelancaran lagu baharu adalah kesalahannya.

“Saya mengaku kesilapan saya, tapi saya bukan menipu, saya alami mild depression sebenarnya, mungkin salah saya mengatakan ia sebagai kemurungan.

“Saya membuat kenyataan itu berdasarkan situasi yang saya lalui dan membuat carian di Internet serta bertanyakan kawan saya.

“Saya belum jumpa doktor, tapi saya dah buat janji temu untuk berjumpa doktor esok (hari ini),” kata Haqiem dalam sidang media semalam.

Haqiem masih dikecam netizen hingga hari ini. Dia masih dilabel sebagai mempermainkan orang ramai dan membuat gimik mahu bersara untuk promosi lagu Selamat Tinggal Sayang yang baharu sahaja dilancarkan secara rasmi.

Dia berharap dirinya dimaafkan dan menganggap usianya yang muda sebagai tidak matang dan degil dalam membuat sesuatu perkara.

Penyanyi Ernie Zakri yang turut hadir pada sidang media berharap semua orang tidak terus menghukum Haqiem sebaiknya tunggu apa kata doktor pakar.

“Mungkin betul dia alami kemurungan dan biarlah dia membuat pemeriksaan,” kata Ernie.

Ernie juga berpendapat Haqiem tak perlu membuat gimik sedemikian kerana dia terkenal dan mempunyai peminat yang ramai.

Ernie antara rakan artis yang lantang mengkritik Haqiem apabila dia diminta hadir dalam satu program sebuah stesen radio hanya untuk memberikan sokongan kepada Haqiem.

Apatah lagi dia tidak tahu apa apa pasal program tersebut. Ernie juga turut dikecam netizen kerana dikatakan bersekongkol dalam gimik Haqiem.

Wany Hasrita pula tidak mahu terlibat dalam situasi ini sebab itu sejak awal dia tidak mahu memberikan sebarang komen.

“Apa sahaja yang berlaku, sama ada betul atau tidak Haqiem mengalami tekanan, hanya dia yang tahu keadaannya,” kata Wany.