gv3-1Sudah lama peminat bercakap dan berteka-teki pasal peserta Gegar Vaganza musim ketiga (GV3). Malah ada senarai bocor diperdebatkan sebelum pengumuman rasmi dibuat semalam.

Ternyata nama-nama yang pernah diuar-uarkan oleh netizen sebelum ini menjadi kenyataan. Itulah senarainya. Ada yang terkejut? Ada yang kecewa?

Nora mahu tambah ilmu.
Nora mahu tambah ilmu.

Sahlah 12 artis yang tersenarai ialah Nora, Siti Sarah, Azharina, Intan Sarafina, Zur Eda dan Elly Mazlein mewakili penyanyi wanita yang akan disaingi enam penyanyi lelaki iaitu Zarul Umbrella, Rem, Ameng, Shidi Data, G Mie Screen dan yang paling senior, Razis Ismail.

Ada juga yang terkejut dengan kesediaan Nora menjadi peserta kerana dia tidak pernah menyepi malah masih aktif. Malah ada yang bimbang Nora akan menjatuhkan namanya sendiri sekiranya dia tewas nanti. Apa kata Nora?

“Saya dah fikir masak masak dan saya bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sebenarnya tahun lepas lagi saya dipanggil, tapi pada masa itu saya belum bersedia. Sebenarnya saya jadi pemerhati menonton GV1 dan GV2, dan setelah berfikir saya sedia menerima.

Zarul dan Sarah.
Zarul dan Sarah.

“Saya ada tanya kawan-kawan dan ramai yang menasihatkan agar saya menolak atas alasan bakal dikritik, nama jatuh kalau kalah dan macam-macam lagi.

Ada yang berpendapat jenama Nora masih kuat. Tapi bagi saya pula, nama Nora mungkin kuat lima atau sepuluh tahun lalu, tapi peminat muda hari ini ada yang tak kenal siapakah Nora. Yang membuatkan saya setuju ialah kerana mahu memperkenalkan diri kepada generasi muda kerana Gegar Vaganza sebuah program yang diminati ramai,” kata Nora.

Dia juga sedia menerima kritikan kerana selama inipun tidak pernah menganggap dirinya cukup sempurna. Malah sedia menerima pelajaran daripada pengkritik yang lebih pakar.

Zarul dan Razis
Zarul dan Razis

Rakan artis senegeri Nora, dari Kelantan, Zarul Umbrella pula sudah mengambil cuti tanpa gaji daripada majikannya Penerbangan Malaysia semata-mata mahu menyertai GV3. Dia juga berharap di samping bertanding, dia juga akan mewakili MAS kerana dia masih lagi seorang peramugara syarikat penerbangan negara itu.

“Saya dapat sokongan kawan-kawan malah majikan juga merestui langkah saya ini.  Saya sedar pada masa yang sama saya juga mewakili MAS secara tidak langsung,” kata Zarul.

Siti Sarah juga akui merasai debar kerana bersaing dengan penyanyi yang pernah menjadi idolanya, Nora dalam GV3. Lagu Di Persimpangan Dilema adalah antara lagi yang sering dia nyanyikan semasa berjinak jinak menyanyi dan mengikuti pertandingan semasa zaman remaja.

“Saya anggap GV3 ini sebagai peluang kedua saya untuk bangkit kembali dalam bidang muzik ini. Saya akan melakukan yang terbaik dan akan kembali mewarnai dunia seni,” kata Sarah yang sudah menyimpan sebuah single baru.

Rem juga sudah merakam lagu baru. Tapi bila mendapat undangan menyertai GV3, dia tangguhkan dulu pelancaran single tersebut dan mahu fokus kepada pertandingan. Cadangnya mahu melancarkan single tersebut selepas tamat GV3 nanti.

“Sebenarnya peminat saya nak sangat saya masuk GV ni, kiranya saya sudah memenuhi impian mereka dan berharap akan  mendapat sokongan peminat,” kata Rem.

Intan Sarafina juga sudah empat tahun hilang kerana menumpukan perhatian kepada keluarga. Ibu kepada tiga anak ini sudah membuat persiapan awal bila namanya tersenarai dengan menghadiri kelas vokal bersama guru vokal profesional, Syafinaz.

“Saya sudah sedia untuk kembali aktif selepas ini, apatah lagi bila mendapat restu suami,” kata Intan.

Razis Ismail menjadi peserta paling senior. Sebagaimana yang lain, dia juga mahu memperkenalkan diri kepada generasi muda yang mungkin tidak mengenalinya sebelum ini. Apatah lagi sudah bertahun-tahun menghilangkan diri.

Konsert permulaan GV3 akan bemula 16 Oktober ini dan akan bersiaran setiap hari Ahad ukul 9.00 malam dari Dewan MBSA di Astro Ria. Qu Puteh masih kekal menjadi penaja utama GV3 di samping jenama lain yang turut menajanya iaitu KFC dan Digi.gv3-5