Filem ‘Fly by Night’ arahan pengarah Malaysia yang sedang meningkat naik, Zahid Omar, telah ditayangkan di Pesta Filem Asia New York 2019 baru-baru ini.

Sebelum itu ia muncul di Tayangan Perdana yang pertama di Amerika Syarikat semasa Pesta Filem Antarabangsa Santa Barbara 2019.
Filem yang bakal ditayangkan di negara sendiri bulan depan itu turut dipersembahkan semasa Pesta Filem Antarabangsa Busan ke-23 tahun lalu selepas dipilih sebagai salah satu daripada enam projek filem cerita yang menerima Dana Pascapenerbitan daripada Asian Cinema Fund (ACF).
Filem pertama nukilan Zahir Omar, yang pernah menjadi Pembantu Pengarah kepada Yasmin Ahmad menyaksikan barisan para pelakon yang hebat. Antaranya termasuklah pelakon veteran Sunny Pang dan Bront Palarae serta pelakon baharu Jack Tan.

Penonton akan dibawa ke lorong-lorong belakang mati di Kuala Lumpur yang penuh dengan kisah kehidupan sambil mengikuti gelagat dua beradik (Fabian Loo, Sunny Pang) yang berpura-pura menjadi pemandu teksi.

Mereka berdua berpakat dengan Ah Soon (Eric Chen) dan Gwai Lo (Jack Tan), dua orang samseng yang menjadikan penumpang kaya sebagai sasaran untuk peras ugut. 

Kumpulan ini diburu oleh pegawai polis (Inspektor Kamal) lakonan aktor hebat, Bront Palarae.
Filem yang diterbitkan oleh Perin Petrus dan Leonard Tee dari Planet Films ini mengisahkan tentang sekumpulan pemandu teksi dan pemeras ugut kecil-kecilan yang  terpaksa meningkatkan aktiviti jenayah mereka bagi membayar hutang.
“Filem ini mendapat inspirasi daripada “Apa yang tersurat belum tentu tersirat”. Ia memberikan pandangan baharu tentang kemungkinan orang yang sering kita temui mempunyai watak yang lain dalam hidup mereka, terutamanya pemandu teksi yang diberi kepercayaan untuk membawa kita ke tempat yang ditujui walaupun kita tidak tahu siapa mereka sebenarnya” kata pengarah Zahid Omar.
“Sebagai pembuat dan penerbit filem tempatan yang bercita-cita besar, kami teruja dengan pengiktirafan yang diterima oleh filem buatan Malaysia ini. Pengiktirafan yang diterima menjadi batu loncatan untuk kami menambah baik dan membawa filem-filem tempatan ke persada antarabangsa. Kami berbesar hati dapat mewakili industri filem Malaysia di peringkat global dan mengibarkan bendera Malaysia dengan penuh rasa bangga” kata Penerbit Eksekutif, Perin Petrus.
‘Fly by Night’ turut menerima pengiktirafan di Macau apabila filem ini dipilih untuk ditayangkan di  International Film Festival & Awards Macao (IFFAM) edisi ke-3 dalam seksyen saingan baharu untuk filem berbahasa Cina selain ditayangkan di Pesta Filem Asia Jogja-NETPAC.

Filem ‘Fly by Night’ bakal ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 11 April.