Pelakon dan penyanyi Nur Fazura teruja menyertai keluarga besar Hai-O apabila dipilih sebagai duta untuk Sahajidah Hai-O Marketing.

Sebagai pemula dia terpilih menjadi wajah teh susu segera, Min Cha. Pelbagai projek diatur bersama syarikat itu yang kini menyertai dunia fesyen dan gaya hidup.

Kejayaan Fazura jadi idola ramai wanita.

“Saya sangat bertuah dan berbesar hati apabila dipilih menjadi keluarga Hai-O. Saya sangat teruja apabila diberitahu akan turut terlibat dalam kerja amal bersama Sahajidah Hai-O Marketing serta perlantikan saya demi memberi perangsang kepada wanita-wanita dalam keluarga pemasaran Hai-O,” kata Fazura.

Pengarah Urusan Kumpulan Hai-O, Tan Keng Kang berkata, pemilihan Fazura berdasarkan personaliti wanita itu sendiri yang boleh memberi perangsang kepada wanita-wanita di luar sana yang mahukan kejayaan seperti diraihnya melalui kerja kerasnya dalam bidang seni.

“Kami bukan bekerjasama sebagai satu entiti perniagaan semata-mata, sebaliknya Fazura juga menjadi duta CSR untuk Yayasan Hai-O.

“Hai-O juga sedang memperkemaskan kedudukan dalam pasaran tempatan dengan mempelbagaikan cabang perniagaan dengan bidang fesyen dan produk lifestyle. Ia selari dengan Fazura sendiri sebagai ikon fesyen,” kata Keng Kang.

Di bawah cabang fesyen, Hai-O dan Fazura akan bekerjasama dalam memasarkan kasut dan beg tangan.

Hai-O juga akan memberikan nafas baharu kepada produk pakaian pelangsingan badan Premium Beautiful bersama Fazura.

Keng Kang juga memberitahu yang Fazura akan mengadakan persembahan di hadapan 12,000 penonton daripada pengedar Hai-O di Stadium Melawati sempena uklang tahun ke 25 Hai-O pada Sabtu ini (11 November 2017).