Setelah empat hari membuat pengakuan sudah bertunang dan merancang bernikah dalam masa terdekat, pesangan pelakon penuh sensasi, Fattah Amin dan Fazura akhirnya diberitakan selamat bernikah dalam satu majlis tertutup di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur pada 27 November lalu.

Pada 23 November, sekembali daripada mengerjakan umrah, pasangan itu muncul dalam sidang media menafikan yang mereka sudah bernikah pada 14 Novembar iaitu sehari sebelum berangkat ke Mekah sebaliknya mengaku hanya bertunang pada 13 November.

Fattah dalam sidang akhbar itu mengatakan mereka akan mengikut semua prosedur pernikahan termasuk menghadiri kursus perkahwinan sebagaimana orang lain juga. Mereka juga enggan memberitahu tarikhnya sebaliknya mengatakan `dalam masa terdekat’ serta tidak akan mengundang media.

“Dengan sukacitanya, kami dari pihak pengurusan Universal Music, ingin berkongsi berita gembira bahawa pelakon, penyanyi dan usahawan wanita, Nur Fazura, telah sah bergelar isteri kepada pelakon lelaki popular, Fattah Amin, dengan sekali lafaz,” kata kenyataan daripada pihak pengurusan Fazura, Universal Music.