Cef selebriti popular, Dato’ Fazley Yaakob, 41, diumumkan sebagai Pemimpin Paling Dikagumi Di Asia 2019 bagi kategori kulinari sempena anugerah berprestij peringkat antarabangsa anjuran Herald Global & ERTC Media yang diadakan di Hotel Intercontinental di sini hari ini.

Pemilihan ini secara tidak langsung menjadi pertama dalam sejarah penganjuran Herald Global apabila mengangkat Fazley menerusi bidang masakan untuk Pemimpin Paling Dikagumi di Asia 2019 berbanding senarai penerima nominasi tahun terdahulu yang mengkhususkan bidang berlainan.

Menurut anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu, beliau tidak menyangka bahawa kerja keras yang ditunjukkan dalam bidang kulinari selama ini meraih tumpuan ramai sehingga diiktiraf oleh Herald Global.

“Pada awalnya, saya terkejut apabila menerima khabar ini apatah lagi diberitahu yang saya terpilih selepas beberapa kali melalui proses saringan bersama pencalonan 100 individu berpengaruh lain dari seluruh Asia.

“Kalau hendak diikutkan, ramai lagi individu lain yang lebih berpengalaman dan senior berbanding saya dalam bidang kulinari ini. Begitupun, saya anggap ia sebagai rezeki terbesar buat saya dan keluarga SukaSucre Bistro,” kata Fazley ketika ditemui pada majlis tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif juga merangkap Ketua Editor Herald Global, Saimik Sen.

Selain bapa kepada empat cahayamata itu yang mewakili bidang kulinari, penyanyi Sufian Suhaimi, 27, turut dipilih sebagai Pemimpin Paling Dikagumi di Asia 2019 bagi kategori Selebriti/Hiburan.

Terdahulu, berita itu telah dimaklumkan sendiri oleh Penolong Pengurus Editorial Herald Global, Trishla Page yang berpengkalan di Mumbai, India bulan lalu kepada bekas juara MasterChef Celebrity 2012 itu di atas sumbangan beliau dalam memartabatkan industri makanan secara menyeluruh baik di dalam dan luar negara.

Selain pemilik SukaSucre Bistro ini, senarai individu lain yang pernah menerima kategori sama antaranya ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAK Properties, Mohammed Sultan Al-Qadi, Pengarah Urusan Wockhardt Ltd, Murtaz Khorakiwala dan Ketua Pegawai Eksekutif Nayla Al Khaja Films, Nayla Al-Khaja.

Herald Global merupakan sebuah portal berpengaruh di India.

Penganjuran anugerah itu merupakan komitmen Herald Global dan ERTC Media untuk menghargai pencapaian setiap individu merangkumi pelbagai bidang.

Anugerah tersebut diadakan bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada individu yang berjaya mengukir populariti dalam industri keusahawanan, pembuatan dan rekaan.