Pelakon Fattah Amin dan Fazura sebenarnya belum berkahwin sebagaimana yang digembar-gemburkan, sebaliknya hanya bertunang pada 13 November lalu.

Mereka menjelaskan persoalan itu sejurus selepas kembali daripada mengerjakan umrah hari ini. Sidang akhbar khas diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Penjelasan itu menamatkan spekulasi yang mengadakan mereka bernikah pada 14 November lalu sehari sebelum berangkat menunaikan umrah bersama keluarga masing-masing. Mereka juga menafikan telah bernikah di Mekah.

“Saya nak berkongsi berita gembira dengan media dan peminat… pada 13 November (2017), keluarga saya telah menghantar rombongan untuk merisik dan bertunang ke rumah keluarga Fazura.

“Alhamdulilah perjalanan majlis merisik dan bertunang selamat dijalankan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Majlis pertunangan itu telah selamat diadakan.

“Sebab kita tak nak berkongsi… sebab kami sepakat untuk berkongsi tarikh 13 November itu selepas kami balik daripada menunaikan ibadah umrah sebab kami rasa kami  nak fokus kepada umrah dan alhamdulillah ia berjalan lancar. Kami   berniat untuk membuat pengumuman selepas kami balik. Hari ini ialah hari yang sesuai untuk kami berkongsi.

“Tapi waktu kami berada di sana, macam-macam berita kami dengar yang kami rasa patutnya itu terkeluar daripada mulut kami, tapi telah keluar dengan macam-macam cerita.

“Selain itu apa yang ingin saya tekankan di sini, kami tidak bernikah di Mekah dan kami belum bernikah dan tidak ada apa-apa perancangan reception dan kami sekarang ini telah rancang untuk melalui proses pernikahan seperti orang lain jugak. Merancang untuk pergi kursus kahwin macam orang lain jugak.

“Saya nak tekankan, atas permintaan keluarga, kami juga kami minta sedikit ruang privasi untuk saya dan Fazura dan keluarga untuk kami adakan majlis pernikahan itu secara tertutup. Ini atas permintaan keluarga kami sendiri.  Insya-Allah reception nanti kita akan ajak semua media. Ada dua reception untuk keluarga dan media dan satu lagi untuk peminat kami di luar sana,” kata Fattah.

Fazura pula menambah yang dia kesal kerana privasinya di ganggu apabila ada gambar majlis di rumah keluarga (majlis 14 November) dipaparkan dengan paparan berita yang tidak benar.

Ditanya pasal perancangan bernikah, mereka mengatakan  tarikhnya tidak terlalu lama daripada tarikh hari ini. Mereka juga kesibukan dengan jadual kerja. Majlis resepsinya  tahun depan dan pernikahan dalam masa ‘tidak lama lagi’.

“(sebelum ini) Perkahwinan itu amat jauh sebab kerjaya selalu jadi nombor satu, tapi dengan kuasa Allah, selepas bertemu dengan Fattah beberapa bulan ini… dia pun propose saya… dan saya fikir… dan terbuka hati dan menerima lelaki yang baik ini,” kata Fazura.