Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari direman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Petaling  Jaya bagi membantu siasatan berkait laporan dia menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam.

Polis mendapat perintah tahanan reman mengikut Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah daripada Majistret Zaki Asyraf Zubir bagi siasatan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan; Seksyen 90 Akta Polis; Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Farid semasa di bawa ke mahkamah.

Farid, 37 yang memakai baju lokap ungu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 10.00 pagi, sebelum dibawa ke kamar mahkamah.

Farid ada masalah rumah tangga?

Dalam kejadian pada jam 1.20 tengah hari semalam, pelakon terbabit dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter dia secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu. Dia juga  dilaporkan menendang dua orang awam di tempat sama.

Turut kelihatan adik pelakon tersebut iaitu Fadzil Zahari yang merupakan suami kepada pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin.

Fadzil memberitahu media kemungkinan Farid mengalami masalah mental kerana tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga.

Dia memberitahu semasa bertemu Farid tiga hai sebelum dia ditahan, abangnya memberitahu dia rindukan anak-anak kerana sudah lama tidak bertemu. Bagaimanapun isterinya Datin Diana Danielle menafikan yang Farid sudah lama tidak berjumpa anak. Diana bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah semasa Farid dibawa untuk tahanan reman.