Pelakon Datuk Farid Kamil Zahari hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan memasukkan dadah jenis THC ke dalam badan pada 11 Januari lalu.

Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham dan mahkamah menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semuka kes tersebut.

Farid didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid‘ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Tuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukuman  penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik dan Farid diwakili peguam Athari Bahardin.  Farid, 37, dibenar ikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Farid semasa di bawa ke mahkamah sebelum ini.

Semasa ditemui media di perkarangan mahkamah, dia ditanya kemungkinan sedang menghadapi masalah rumah tangga apabila membuat laporan polis berkaitan kebenaran untuk adiknya memasuki kediaman kelamin dia dan isteri, Datin Diana Danielle untuk mengambil berangan peribadinya.

“Kami baik-baik saja… Tiada masalah antara kami. Buat masa ini, saya tidak dapat memberi penjelasan lanjut mengenainya kerana masih berada dalam siasatan,” kata Farid.

Dia turut meluahkan kesyukuran dapat mengubat rindu kepada anak-anak selain berterima kasih atas sokongan keluarga. Farid juga kelihatan tenang bertemu media dan keadaannya juga kelihatan normal tidak seperti kelibatnya semasa dihadapkan ke mahkamah untuk tudukan kes menampar anggota polis minggu lalu.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti menyokong saya,” katanya lagi.