Pelakon Erma Fatima enggan mendedahkan punca perceraiannya dengan pengarah Bade Azmi dan mahu menyimpannya untuk diri sendiri.

“Saya rasa seluruh hidup saya, saya dah bagi kepada seni untuk diketahui oleh masyarakat. Saya mohon urusan rumah tangga saya dan mati saya biarlah menjadi rahsia saya dengan Allah. Saya reda.

Erma sempat menjawab ringkas soalan media.

“Apa yang boleh saya katakan, soal mati dan jodoh itu, ketentuan Tuhan dan jika ini ketentuannya, saya sangat reda,” kata Erma kepada media selepas selesai urusan di mahkamah pagi tadi.

Bade, 53, atau nama penuhnya Badarudin Azmi melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin kepada Erma, 49, kira-kira pukul 11.35 pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Au2, Keramat.

Bade selaku plaintif memfailkan permohonan cerai pada 10 Ogos mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.  Mereka bernikah pada 30 November 1991.