Dua waris Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam menuntut pengisytiharan penjualan tanah menempatkan Studio Panca Delima di Hulu Kelang, Selangor sebagai tidak sah.

Anak sulung, Jeffrey Jins dan anak kedua, Hang Tuah atau Shazrin mengemukakan tuntutan pada 3 Januari lalu melalui Tetuan Basharuddin Iskandar.

Mereka menamakan anak ketiga Jins, Putera Hang Jebat, peguam dan pembeli tanah dalam urusan penjualan yang dibuat pada tahun 2015.

Mereka menuntut pengisytiharan bahawa surat kuasa wakil kepada Hang Jebat tidak sah, pindahmilik hartanah kepada defendan ketiga tidak sah, pindahmilik semula hartanah kepada plantif-plantif mahupun mana mana pihak yang dirasakan wajar oleh mahkamah serta gantirugi.

Mereka membuat tuntutan itu berdasarkan satu surat kuasa wakil yang kononnya memberikan kuasa kepada Hang Jebat pada tahun 2013 untuk mengendalikan segala urusan berkenaan tanah tersebut.

Mereka mengesyaki tandatangan pada surat wakil itu palsu kerana bapa mereka diketahui umum merosot kesihatannya sejak tahun 2012.

“Saya membuat tuntutan ini untuk mendapatkan keadilan, khususnya kepada Abang Jeffrey yang tidak pernah mendapat apa apa daripada harta peninggalan arwah,” kata Hang Tuah dalam sidang akhbar berkaitannya petang tadi.

Kes tersebut dijadualkan untuk pengurusan kes pada 7 Februari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tuah memaklumkan setakat ini Hang Jebat dan pembeli belum memasukkan kehadiran manakala peguam yang dinamakan defendan kedua telah memasukkan kehadiran pada 17 Januari lalu.

Sebelum ini iaitu pada 31 Ogos 2017 Jeffrey, yang berwarganegara Singapura telah membuat laporan polis di Johor Bahru berkaitan penjualan tanah tersebut manakala Hang Tuah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 5 September 2017.