Jenama fesyen eksklusif Bianco Mimosa dari Malaysia akan menyertai barisan pereka ternama dunia pada International Fashion Week Dubai (IFWD) musim ke lima pada 21 dan 22 Oktober ini.

Bianco Mimosa akan menjadi jenama Malaysia pertama yang diundang membuat pertunjukan pada minggu fesyen yang diadakan dua kali setahun itu. Kali ini pertunjukan yang menjanjikan himpunan fesyen terbaik itu akan diadakan di Sofitel The Palm, Dubai UEA.

Inilah dua fabrik khas untuk rekaan Bianco Mimosa.

Pengarah Urusannya, Datuk Ida Suraya Mustapha memilih fabrik eksklusif yang ditempah khas dari Itali untuk menghasilkan sepuluh rekaan yang berkonsep A Tale of Tongkang Yard. Dia mengangkat tema suasana kampungnya semasa membesar di Tongkang Yard, Alor Star, Kedah.

“Saya ilhamkan pengalaman semasa saya kecil di kampung dengan kisah rumah saya, pengalaman di kejar angsa, melihat permainan wau dan sebagainya untuk rekaan kali ini.

Bianco Mimosa membawa bersama jenama Dache ke Dubai. Dache diwakili Yadz Harudin (Kanan) dan Julie Ibrahim (kiri).
Yakin rekaan Bianco Mimosa ada tempat dalam hati penggemar fesyen Dubai.

“Memang kami kesuntukan masa. Malah ada kain yang saya tempah baharu sahaja sampai hari ini. Tapi memandangkan pihak sana yang bersungguh-sungguh mengundang, saya dan mereka begitu yakin bahawa Bianco Mimosa ada tempat dan boleh diterima, saya menerima perlawaan mereka.

Buat kajian dahulu sebalum buka cawangan di Dubai.

“Sebelum menerimanya pun saya dah membuat survey pasaran di sana untuk sesuaikan rekaan saya dengan kehendak pasaran di sana. Tambahan pula saya ada perancangan membuka rangkaian jenama Bianco Mimosa di Dubai tahun hadapan,” katanya dalam satu sesi khas bersama media di pejabatnya di Sungai Buluh, Selangor hari ini.

Turut bersama dalam minggu fesyen itu ialah jenama Dache dengan rekaan RTW berkonsep Colours of Rangoli oleh Yads Harudin dan Julie Ibrahim.

International Fashion Week Dubai yang dibawakan oleh Opulence Event Management ini berkonsep acara dua hari yang dimuatkan dengan peragaan, pameran serta  jualan produk dan perkhidmatan yang dibuka kepada khalayak dan mampu menarik pembeli. Malah ia juga lazimnya dihadiri oleh orang kenamaan, kerabat di raja serta selebriti dunia.

International Fashion Week Dubai (IFWD) musim ke lima ini dijangka menjadi acara terbesar di Dubai  dan penganjur menyasarkan untuk membawa fesyen dan bisnes bersatu di bawah satu bumbung.

“Kami juga menggunakan platform ini untuk mencari peluang mengembangkan jenaman Bianco Mimosa. Saya memilih Dubai sebagai langkah pemula kerana ia terasa dekat dengan kita di Malaysia serta kuasa beli yang besar di sana.

Sementara itu, antara nama yang bakal memeriahkan IFWD ialah supermodel dan Miss Universal 2017, Emilia Debreva dari Kosovo. Emilia juga akan memperaga sepersalinan busana rekaan Bianco Mimosa pada persembahan sempena acara kemuncak malam pembukaan pada 21 Oktober.

Pereka lain yang dinamakan dalam facebook IFWD ialah Diana Walkiewicz dari Poland, Ibrar Ali dari Pakistan, Maya Tavadzedari Rusia dan ramai lagi.

Dalam perkembangan lain, Ida Suraya memberitahu Bianco Mimosa sudah mendapat tempahan menyiapkan busana untuk seorang artis Hollywood yang bakal menggayakannya di Anugerah Grammy akan datang.

Fabrik dengan motif suasana kampung yang ditempah khas dari Itali.