Tokoh kewartawanan hiburan Bahyah Mahmood atau BAM meninggal dunia hari ini kerana penyakit barah.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Kanser Negara pada pukul 5.20 pagi ini.

Jenazah Pengarang majalah URTV paling lama itu dibawa ke rumahnya di Jalan Enggang Keramat, Kuala Lumpur dan dijangka dikebumikan selepas Zuhur hari ini.

BAM,75, sangat terkenal sebagai wartawan hiburan yang aktif sejak tahun 70-an sehingga 90-an.

Kesihatannya mula merosot selepas suami, Ahmad Idris atau Abi meninggal dunia tahun lalu.

Allahyarham sangat rapat dengan artis lama yang dianggapnya macam adik dan anak-anaknya.

BAM berkhidmat selama 32 tahun bersama Utusan Melayu (M) Berhad dan bersara pada Oktober 1997 dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarang URTV.

Selain menjadi wartawan, beliau juga menyumbang dalam beberapa karya seni antaranya menulis lirik lagu Saloma, Salamiah Hassan, D.J. Dave dan Ebby Saiful.

Antara lagu popular tulisannya ialah Gelombang nyanyian Salamiah Hassan.

Bahyah pernah cuba nasib berlakon dalam filem Sri Mersing pada 1961 dan sebauh lagi filem Sri Andalas pada 1966.

Arwah Bam dan Abi bersama beberapa wartawan hiburan muda.
Khalidah bersama Uji Rashid

Sementara utu Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) ¬†meletakkan Bahyah bukan hanya sebagai seorang wartawan hiburan penuh wibawa, tetapi dalam banyak keadaan menjadi ‘rakan baik’ kepada sesiapa sahaja disekeliling beliau.

“Kak Bam menjadi tempat berkongsi segala masalah, suka dan duka bukan sahaja dalam kehidupan anak seni tempatan, tetapi juga kami wartawan-wartawan muda yang menyambung perjuangan beliau dalam bidang penulisan seni dan hiburan.

“Beliau sudah seperti kakak atau ibu kepada kami kerana sering memberikan nasihat-nasihat, galakkan dan kata-kata semangat kepada wartawan yang lebih junior seperti kami.

“Tidak pernah ada seorang pun yang tidak menyukai atau ada masalah peribadi dengan beliau sepanjang kami mengenalinya,” jelas Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Bam bersama bekas rakan sekerja.

Justeru tidak hairan kenapa nama-nama besar, seniman dan seniwati lagenda negara meletakkan beliau sebagai maestro kewartawanan hiburan yang begitu berpengaruh.

Apa yang diungkapkan, atau diputuskan oleh Bahyah, seringkali dijadikan panduan oleh banyak artis angkatan 80-an dan 90-an untuk meneruskan kehidupan mereka, baik dalam kerjaya mahupun peribadi.

“Malah, untuk hal hal penting seperti berkahwin atau bercerai sekalipun, mereka akan menjadikan Bahyah sebagai rujukan terlebih dahulu.

“Menariknya hubungan mereka apabila walaupun Bahyah seorang wartawan dan mereka artis, Bahyah tidak akan sesekali menulis tanpa kebenaran nara sumbernya.

“Apa yang menjadi rahsia, kekal sebagai rahsia dan beliau hanya akan menulis apa yang boleh ditulis. Selebihnya ia menjadi rahsia beliau dan artis itu sendiri, justeru Bahyah banyak menyimpan rahsia ‘besar’ sekian banyak nama-nama tersohor negara ketika hayatnya,” kata Tengku Khalidah.

Antara artis yang paling dekat dengan Bahyah adalah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Sharifah Aini, Uji Rashid dan ramai lagi lagenda di bidang tersebut.

Malah, rumah kediaman BAM dan suaminya, Allahyarham Ahmad Idris (ABI) di Jalan Enggang, Keramat Kuala Lumpur seringkali menjadi persinggahan sementara kepada banyak artis apabila ditimpa masalah peribadi.

Ini termasuklah ketika Allahyarham Datuk Sharifah Aini berhadapan dengan masalah rumah tangganya bersama dengan suami, Ali Bakar, Bam menjadi ‘bahu’ yang paling akrab untuk bersandar.

Selain itu, Bam adalah antara satu-satunya wartawan hiburan yang diberi peluang menziarah Allahyarham Sudirman, ketika lagenda itu berada dalam keadaan nazak sebelum meninggal dunia pada Februari 1992.

Persatuan WHAM melahirkan ucapan takziah kepada anak-anak dan ahli keluarga Allahyarham Bahyah Mahmood dan semoga tabah menerima kehilangan besar ini.

Semoga meninggalnya beliau di dalam bulan yang penuh barakah ini akan menerima seribu satu ganjaran istimewa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. Al-Fatihah.