Pelakon popular era 1980-an, Azmil Mustapha meninggal dunia akibat sakit jantung di kediaman keluarganya di Shah Alam, sekitar pukul 1.00 tengah hari tadi pada usia 65 tahun.

Pelakon yang diingati melalui filem Mekanik dan Ali Setan itu meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak.

Allahyarham Azmil Mustapha.

“Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami,” kata anaknya Ahmad Bazli Zhafri kepada media.

Dalam perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan anak perempuan, Shamira yang pernah cuba berlakon namun tidak begitu menonjol.

Bersama Fauziah Ahmad Daud dalam sebuah filem.

Azmil juga memiliki empat anak iaitu Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia dalam perkahwinan keduanya.

Sejak dua tahun lalu kesihatannya merosot dan pernah dilaporkan kritikal. Pernah juga viral mengatakan Alahyarham meninggal dunia padahal pada masa itu beliau sedang mendapat rawatan di hospital.

Azmil Mustapha lahir pada 1 Januari 1953 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Namanya sempat jadi fenomena pada lewat tahun 1980-an. Sebelum berlakon allahyarham sempat merakam album terlebih dahulu dengan genre R&B.

Bermula dengan filem yang mencecah kutipan box office, Mekanik (1983) namanya terus mekar sebagai pelakon. Gandingan serasinya Fauziah Ahmad Daud menerusi  Ali Setan (1985) dan beberapa filem lain antaranya Suara Kekasih (1986).

Antara filem kain lakonannya ialah Matinya Seorang Patriot (1984) Driving School (1990), Iman Alone (1998) dan Fifty Cent (1991), Kepala Angin (1987), Hanya Kawan (1997) dan beberapa lagi.

Pada hujung hayatnya beliau lebih menjurus ke arah keagamaan dan menjadi penceramah bebas serta digelar Ustaz.

Berikut perkongsiang rakan wartawan era 80-an Muzlina Abu Bakar yang turut berkongsi rasa dan pengalaman bersahabat dengan Allahyarham

“Innalillahiwainnailahirojiun…buat Haji Azmil Mustapha. Allahyarham yang saya kenal sekembalinya dari luar negara pada 1980-an dan kemudian bekerja bersama dengan Abang Ali Bakar pemilik Box Office yang berpejabat di Bangsar, baik orangnya walaupun dalam filem “Ali Setan” nampak ‘gila-gila’ tetapi in person Allahyarham sangat serius dalam apa yang dilakukan.

“Semasa Allahyarham aktif dalam bidang lakonan saya pernah beberapa kali interbiunya dan apabila Allahyarham meninggalkan bidang lakonan untuk menjadi seorang pendakwah dua kali saya berkesemptan interbiunya untuk ruangan Retro Hiburan Utusan Malaysia dan menjadi Cover MEGA.

“Allahyarham meninggalkan dunia seni yang penuh glamor dan ke Syria untuk menghantar anaknya belajar di sana. Ketika di sana Allahyarham turut mendalami bidang agama dan tahfiz al-Quran.

“Ketika di Syria, Allahyarham pernah dimasukkan di hospital di sana dan saya tahu tentang penyakit jantung setelah menghubungi handfond anaknya di Syria. Sekembali dari Syria, saya berpeluang interbiu Allahyarham dua kali dan Allahyarham bercerita kenapa berubah dan memilih jalan untuk mendalami bidang agama dan meninggalkan bidang seni.

“Allahyarham bercerita segalanya tetapi banyak yang off-record demi amanah yang telah saya janjikan kepadanya. Salam takziah buat anak-anak dan keluarga Allahyarham Haji Azmil Mustapha, semoga Allahyarham ditempatkan bersama para solihin,” tulis Muzlina dalam laman Facebooknya.