Pasangan penyanyi Awi Rafael dan pelakon Atikah Suhaime memilih tarikh 17 Mac tahun hadapan untuk bernikah. Ia sempena hari lahir Atikah pada 15 Mac.
Mereka memilih tarikh itu untuk membolehkan majlisnya dibuat perancangan lebih teratur. Mereka bertunang pada 17 Mac lalu. “Kalau ikutkan nak selesaikan lebih awal, tapi keluarga mahukan masa untuk membuat persediaan rapi,” kata Awi semasa majlis kejutan sambutan ulang tahunnya yang ke 32 di Suka Sucre Bistro, Cheras, malam ini.
Pada majlis itu juga, Warner Music melancarkan klip video lagu terbaharu, Ini Semua Dunia. Lagu tersebut akan dimuatnaik di laman Youtube pada pukul 10.00 malam ini.
Lagu tersebut bukanlah lagu dakwah, sebaliknya lagu pop dengan melodi catchy yang diselit lirik berunsur islamik. Itulah cara Awi berdakwah secara santai.
Video arahan Gambo TV itu ialah lagu pertama di Malaysia yang menampilkan teknologi facemapping.
Lagu tersebut petikan album Euforia yang akan dipasarkan tidak lama lagi. Ia sudah ada di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.
Awi mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana bertemu orang yang tepat.
Sebelum ini Awi payah memberi komitmen terhadap pembinaan rumah tangga kerana dia dibesarkan oleh ibu dan tidak pernah lihat bapa dalam keluarganya.
Atikah, 27, juga sudah bersedia dan menganggap Awi sebagai orang yang sentiasa ada semasa dia dalam masalah.
“Saya tak kenal sangat dia semasa berkawan sebelum ini kerana dia tidak terbuka bercakap pasal keluarga. Apabila mengenalinya lebih rapat, saya lihat dia mengambil berat menjaga ibunya.
“Kalau dia boleh jaga ibunya dengan baik, dia juga boleh jaga saya juga nanti,” kata Atikah pula.