Sudah banyak kali kita dengar luahan rasa kecewa artis veteran yang bagai dilupakan apabila peluang mendapat tawaran berlakon semakian sukar. Mereka bagai dinafikan hak berlakon.

Kesukaran itu bukan kerana masalah kesihatan, sebaliknya sistem bikinan sendiri orang yang berkaitan dalam stesen televisyen yang memainkan peranan menentukan nama pelakon untuk satu-satu projek pembikinan drama.

Lebih parah apabila watak ibu atau nenek yang biasanya dilakonkan oleh pelakon veteran, kini digalas oleh pelakon yang jauh lebih muda malah ada kalanya kelihatan muda berbanding hero lelaki yang berlakon sebagai anaknya.

Pada majlis makan malam Malam Amal 1000 Bintang anjuran Yayasan Artis Veteran Malaysia baru-baru ini perkara itu menjadi topik yang dibincangkan secara jenaka namun penuh bermakna.

Pada malam tersebut juga dilancar Tabung RM1 Malaysia, iaitu tabung yang hanya meminta derma RM1 yang bertujuan membantu artis veteran yang memerlukan khususnya yang dalam keuzuran dan tidak boleh bekerja (berlakon) lagi.

“Kami lancarkan tabung ini dengan harapan dapat memberi sokongan berterusan kepada artis veteran yang hilang punca pendapatan sebab sakit,” kata Presidennya Kismah Johar.

Kismah juga nenamakan beberapa rumah produksi yang sentiasa menghulurkan sumbangan kepada Yayasan untuk membantu artis veteran. Mereka akan bergerak ke seluruh negara untuk membawa tabung sumbangan tersebut.

Abon yang bertindak selaku pengacara majlis beberapa kali membangkitkan isu itu dalam nada jenaka untuk memberitahu betapa seriusnya masalah tersebut sehingga memaksa pelakon melakukan kerja lain.

“Bayangkan… Aaron Aziz (berkulit putih dan kacak) berlakon sebagai petani di sawah bendang. Aaron yang putih itu dan tidak pernah kena panas jadi petani, bagaimana rupanya tu?,” kata Abon.

Abon juga membuka cerita pasal dirinya sendiri yang tiada lagi tawaran berlakon sejak tahun 2012. Malah selepas menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega, dia terus sepi.

“Tapi saya ini alhamdulillah masih ada rezeki, saya kerap dipanggil jadi pengacara majlis. Hari ini saya di sini, malam tadi di Sabah. Tapi saya kasihankan kawan-kawan saya yang langsung tak ada kerja,” kata Abon pada majlis di Hotel Concorde, Kuala Lmpur itu.

Sementara itu apabila Tan Tin selesai membuat persembahan Abon secara berjenaka mengatakan, gara-gara tiada tawaran berlakon, pelawak berbangsa Cina itu menjadi pemuzik mengiringi keranda mayat ke perkuburan.

Sebenarnya Tan Tin masih berlakon dan insiden beralih menjadi pemuzik pengiring mayat itu ialah rakan-rakan Tan Ting sendiri yang meneruskan kelangsung tersebut setelah berusia dan tidak lagi bermain muzik.

“Saya pernah diundang kawan untuk bersama menyertai mereka, tapi setakat ini saya menolak kerana ada lagi sikit sikit tawaran berlakon,” kata Tan Ting kepada Gondang Online.

Tan Ting bersama Lan Zailan dan Rama turut membuat persembahan jenaka pada majlis tersebut. Topik yang mereka persembahkan juga berkaitan tiadanya tawaran berlakon kerana sudah berstatus veteran.

Beberapa artis veteran juga turut ambil bahagian dalam memperaga fesyen beberapa pereka. Ulasan selari yang dibuat oleh Abon juga berjenaka pasal pelakon veteran yang gigih nak jadi model sebab sudah tiada tawaran berlakon.

Pada malam tersebut hadirin dihiburkan oleh barisan artis seperti Raftah Bachik, Datuk M. Daud Kilau, Ibnor Riza, Hail Amir, Seri dan Azharina.