“Kalau kita kata, kita ini susah, orang tak percaya. Orang nampak artis ni yang glamor sahaja.

“Mereka lihat artis dalam majlis, mestilah kita bersiap untuk muncul dalam mana-mana majlis.”

Artis veteran makin dipinggirkan.

Itu kata pelakon veteran Norlia Ghani pasal kehidupannya sebagai seorang pelakon bila nama pelakon veteran sering dipinggirkan.

“Saya kerja sepenuh masa dengan berlakon, apabila nama saya dicantas oleh stesen TV, mana saya nak ada pendapatan.

“Kali terakhir saya berlakon telemovie khas untuk Aidilfitri lalu. Sejak bulan puasa hingga hari ini belum lagi ada tawaran.

“Penerbit ada mencadangkan nama saya untuk terbitan mereka, tapi bila dihantar proposal kepada pihak stesen, mereka mahukan pelakon lain untuk watak wanita tua, nak buat macam mana.

Masih sihat untuk terus berlakon.

“Bukan saya sahaja tanyalah kepada artis veteran lain, jawapan sama yang akan diberikan,” kata Norlia.

Norlia menjelaskan, dia tinggal menyewa dengan anak bujangnya yang berstatus OKU. Melalui lakonanlah punca utama rezekinya.

Dia sedar apabila tersiar cerita pasalnya, ada netizen yang menasihatinya untuk bersara dan tumpukan ibadat dan banyakkan ke masjid sahaja.

“Saya bekerja sebagai pelakon, kalau berhenti berlakon, saya nak makan apa. Berlakon ni satu pekerjaan juga,” kata Norlia lagi.