Filem Hanyut yang dinanti-nantikan akhirnya muncul jua di pawagam.
Semalam Ahad 4 Disember 2016 saya dan keluarga berkesempatan menonton filem Hanyut yang dihasilkan oleh sutradara tersohor Malaysia U-Wei Haji Saari.

sinopsisfilmmalaysiahanyut%282016%29

Filem yang dibintangi oleh Peter O’Brien, Sofea Jane, Adi Putra, Diana Danielle, Bront Palarae, Alex Komang, Khalid Salleh, Sabri Yunus, Hasnul Rahmat dan ramai lagi ini diadaptasi daripada novel Joseph Conrad berjudul Almayer Folly. Dikhabarkan kos perbelanjaan filem ini mencecah sehingga RM18 juta. Penggambaran dijalankan di sekitar Kuala Lipis dan Pekan, Pahang.

Film Hanyut ini mengisahkan tentang Almayer, seorang pedagang belanda yang berjuang habis-habisan untuk tinggal di Malaya pada akhir abad 19. Almayer mengimpikan penemuan mitos sebuah gunung emas. Cukup terpegun dengan lakonan mantap dari Sofea Jane, seorang isteri yang cukup licik. Begitu juga dengan lakonan Diana Danielle, Adi Putra serta yang lain-lain juga tidak mengecewakan. Cukup terkesan sekali dengan lakonan hebat dari Rahayu Saraswati.

Selepas menonton filem ini, saya boleh katakan ia adalah karya yang cukup bermutu dari U-Wei Haji Saari. Filem ini memerlukan penonton untuk berfikir semasa menonton. Sinematografinya cukup baik sekali, hanyut juga banyak mengenengahkan keindahan lanskap alam. Perkampungan desa Sambir diolah dengan begitu baik sekali.

Terdapat nilai antarabangsa yang diterapkan dalam filem Hanyut ini, sesuatu yang jarang-jarang diketengahkan dalam pembikinan filem Melayu kita. Ternyata hasil buah tangan U-Wei ini tidak mengecewakan.

Kepada yang belum menyaksikan Hanyut sudi-sudikanlah ke panggung berdekatan. Sokonglah filem Melayu kita. Ternyata filem ini menyajikan suatu kelainan. Pandangan peribadi saya Hanyut merupakan sebuah filem dimensi baru kepada filem Melayu Malaysia.

Filem ini sepatutnya mendapat sambutan yang cukup hebat dan memberangsangkan, namun jika aspek promosi yang lemah…..mungkin filem ini boleh Hanyut.