Pelakon  veteran Datuk Baharuddin Omar, 81, yang popular dengan panggilan Anjang Aki kini sedang mendapat rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur sejak Selasa lalu.

Anjang Aki, 81, dibawa ke hospital sebab terjatuh di rumah kerana tidak dapat menyeimbangkan badannya, kata isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar.

Namun sehingga tengah hari tadi, doktor belum memastikan jenis penyakit yang dihidapinya.

“Alhamdulillah, dia berada dalam keadaan stabil dan sedarkan diri,” katanya kepada media semasa beberapa persatuan hiburan melawat dan menghulurkan sumbangan hari ini.

Dia juga kelihatan ceria dan berbual dengan rakan artis yang menziarah.

Beberapa pemimpin persatuan seni seperti Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Seniman Malaysia turut hadir menziarah.