Esok, 27 Ogos penyanyi Ameng Spring sepatutnya mengadakan persembahan di Kelantan bersama-sama Suria FM. Tapi beberapa hari lalu dia dilarang menyanyi.

Ameng tak tahu atas alasan apakah dia dilarang mengadakan persembahan, pada fikirannya kerana statusnya sebagai seorang bekas banduan.

Ameng tak faham mengapa diri tak diterima.
Ameng tak faham mengapa diri tak diterima.

“Saya sendiri tak tahu pasal apa tiba tiba saya diberitahu nama saya tidak boleh menyanyi dalam acara tersebut. Saya dibenarkan hadir cuma tidak boleh membuat persembahan.

“Mungkin mereka tak benarkan saya mengadakan persembahan kerana status saya sebagai bekas banduan dan bekas penagih dadah.

“Kalau begitulah hukuman ke atas saya saya terima dan saya anggapnya daripada sudut positif. Mungkin ini sebagai rezeki mudah kepada saya. Saya sudah terima bayaran dan tak perlu menyanyi pula.

“Tak cukup lagikah hukuman yang saya terima? Hukuman penjara lapan tahun dan sebatan itu bukanlah satu hukuman ringan,” kata Ameng yang kesal apabila golongan sepertinya terus dipandang sepi oleh masyarakat.

Ada lagu baru.
Ada lagu baru.

Sebelum ini pun dia ditipu seorang kenalan yang bertindak sebagai penganjur persembahan sebuah persembahan makan malam musim raya lalu apabila bayaran yang dijanjikan tidak dilunas.

“Nampaknya orang itu tak mahu bayar dan dia beri pelbagai alasan. Tak apalah saya anggap tak ada rezeki dan mungkin Allah nak uji saya dan mahu memberikan rezeki yang lain. Tak apalah… saya halalkanlah duit itu.

“Bukannya saya tak perlukan wang itu… saya ni baru kembali menyanyi dan baru nak memulakan hidup baru. Tapi nak buat macam mana dah tak ada rezeki saya. Saya redha ajalah,” katanya.

Sementara itu Ameng bakal memulakan kembali kerjaya seni dengan menghasilkan album baru. Dia sudah mencipta beberapa buah lagu semasa di dalam penjara.

“Kalau lagu yang dicipta semasa dalam penjara itu maknanya lagu-lagu yang bercorak keinsafanlah,” katanya kepada Gondang Online.