Penyanyi kelahiran Malaysia, Jessie Chung kini sedang meniti nama popular dalam arena muzik antarabangsa, khususnya di Taiwan.

Lagu Be Strong petikan album Inggeris keduanya berjudul Be Strong menguasai carta lagu popular di beberapa stesen radio negara itu. Malah album itu juga ungguli carta jualan album terlaris dalam Five Music’s International Chart.

Bersama pengurusnya, Neil McLean.

Jessie  sendiri tidak menyangka sehingga membuatkan dia menangis kegembiraan bila mengetahui albumnya mengalahkan jualan album penyanyi popular antarabangsa seperti Adele, Madonna,  Coldplay, Ed Sheeran dan Ariana Grande.

“Saya akui, terkejut bila album saya mendapat sambutan hangat. Apatah lagi album ini berkonsep pop rock, sedangkan peminat di sana lebih cenderung menggemari muzik balada,” kata Jessie kepada media pada majlis penganugerahan  Anugerah Platinum Be Strong di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Anugerah disampaikan oleh Pengarah Urusan Warner Music Malaysia & Singapura, Darren Choy. Turut hadir CEO PMP Entertainment, Lim Kim Sow dan pengurusnya, Neil McLean.

“Sebelum ini, bila album pertama saya memasuki carta, saya pernah menangis, inikan pula bila album menduduki tangga pertama. Saya sangat terharu dan menangis selama tiga hari,” akui Jessie pasal keterujaannya itu.

Jessie, kelahiran Kuching, Sarawak yang kini menetap di Australia memiliki perniagaan berasaskan kecantikan. Malah dia juga  memiliki ijazah perubatan dalam perubatan Cina dan Western Integrative Medicine-Oncology dari Guangzhou University of Chinese Medicine.

Sementara itu Jessie dijadual mengadakan 15 showcase di Malaysia sempena pelancaran album tersebut. Dia juga   akan menjelajah beberapa buah negara lain seperti Taiwan, Australia, London, New York, Kanada, Jepun, Hong Kong, Singapura, China, Filipina, Thailand dan Indonesia untuk meningkatkan promosi.

Darren Choy (kanan) menyampaikan anugerah platinum kepada Jessie Chung sambil disaksikan CEO PMP, Lim Kim Sow dan Neil McLean.

Antara lagu yang terkandung di dalam album Be Strong adalah, Be Strong, Captured My Heart, Forever Young, Possibility, I Don’t Care, Love Is Coming Home dan Feel My Love.