Seniwati veteran Seri Dewi, atau nama sebenarnya Tengku Azizah Tengku Ariffin telah kembali ke rahmatullah sekitar pukul 7.30 malam tadi di Singapura.

Jenazah dibawa ke The Santorini, 27 Tampines St 86, #06-25 dan dikebumikan esok pagi.

Pelakon filem Sumpah Orang Minyak itu berusia 78 tahun.

Seri Dewi dilahirkan di Singapura pada 18 March 1940 dan ayahnya Tengku Ariffin merupakan seorang kerabat diraja Perak dan ibunya berasal dari Kelantan.

Beliau merupakan seorang model dan pernah memasuki peraduan Ratu Cantik dan dari situ bakatnya disunting oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee..

Oleh kerana namanya Azizah yang mungkin tidak terlalu komersial, P. Ramlee telah menukar nama Tengku Azizah kepada Seri Dewi bersempena lagu Seri Dewi Malam.

Antara watak beliau yang paling diingati dan berkesan iaitu filem Sumpah Orang Minyak dan Puteri Gunong Banang. Namun Beliau juga pernah menjadi pelakon pembantu untuk Filem Mas Merah,Batu Durhaka dan Lampong Karam.

Setelah Malay Film Productions menutup tirainya, beliau pernah berlakon untuk drama-drama di TV namun pada tahun 1974 beliau terus menghilang dari dunia pentas lakonan.