Malam Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) dijayakan dengan gemilang di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur pada 24 November lalu. Sebanyak 12 trofi diberikan kepada penerima yang dinilai berdasarkan tulisan berkait indusri perfileman negara.

Para wartawan juga tampil dengan pakaian glamor demi menjadikan malam tersebut satu malam penuh warna warni dan bersejarah. Maklum sahaja, ia julung kali dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Tengku Khalidah dan Shikin mengapit Datuk Rosyam Noor yang sememangnya erat dengan wartawan hiburan.

Malam itu juga menjadi medan pertemuan di antara wartawan hiburan terkini dengan wartawan hiburan lama yang turut diundang memeriahkan malam tersebut.

Hartati dan Fauziah Samad

Nama-nama besar wartawan hiburan terdahulu antaranya, Sarimah Hussin, Fauziah Samad, Datin Norbaya Musa, Saodah Ismail, Intan Zabidin, Zubairi Zabidin, Sri Intan Osman, Fariza Saidin, Datuk Mustafa Haji Ton, Datuk Kamal Amir, Zainuri Misfar, Azian  Adnan, Khairana Sabtu, Zulkifli Ali, Sharifah Suraya Al-Attas, Saleha Ali, Fatimah Abu Hassan, Roslen Fadzil dan ramai lagi turut hadir.

Melihat kelibat wartawan senior dalam majlis itu pastinya memeriahkan lagi majlis. Malah ada yang datang semata-mata mahu bertemu mata dengan rakan lama.

Wartawan Rosli Manah bersama pengasas majalah VariaPop, Mustafa Hj Ton dan isteri Wirdaningsih.
Raja Nurfatimah dan Hartati penuh bergaya.
Antara barisan wartawan muda BH bersama Rosyam Nor.
Orang lama BH, dari kiri, Azian, Khairana, Zainuri, Saodah dan Zulkifli.

Apatah lagi lama yang sudah tersua kerana ramai yang beralih bidang yang lari daripada dunia hiburan seperti pendidikan dan perniagaan.

Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, selain meraikan pemenang yang dinilai oleh barisan juri yang dikelolakan oleh Finas, majlis tersebut juga bagi meraikan kelompok wartawan hiburan dahulu dan lama.

“Sebab itulah kita undang wartawan hiburan terdahulu untuk sama-sama berhimpun pada majlis ini,” katanya lagi.

Dalam ucapan ringkas, Pengerusi Finas, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib memaklumkan AKIFMA akan dijadikan acara tahunan bagi mengiktiraf penulisan yang menjurus kepada perkembangan industri perfileman.

“Wartawan dalam konteks AKIFMA adalah sebagai pengantara suatu hasil filem kepada rakyat, perlu diiktiraf dan dipuji atas usaha dan kegigihan mereka mendapatan informasi dan menulis dengan kritis dan menyebarkannya melalui pelbagai medium.

“AKIFMA bukan sahaja mengiktiraf para wartawan hiburan yang sudah lama bergiat dalam bidang penulisan, malah menghargai wartawan secara menyeluruh dan akan membuat penambahbaikan dalam masa akan datang melalui hasil-hasil karya yang berkualiti,” katanya.

Tengku Khalidah mewakili WHAMmengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedai melalui Finas yang tampil dengan idea mengadakan majlis yang mengangkat kerja seseorang wartawan dan penulis hiburan.

“AKIFMA bukan sahaja meraikan dan mengangkat karya wartawan seni dan hiburan generasi kini, tetapi ia bergerak lebih daripada itu. Kita turut meraikan kehadiran nama-nama besar dalam bidang kewartawanan  seni dan hiburan,” kata Tengku Khalidah lagi.

Sememangnya majlis tersebut ibarat reunion wartawan lama dan baharu. Yang saling mengenali ambil peluang bertanya khabar dan itulah juga masa wartawan generasi baharu mengenali orang yang terlebih dahulu mengindahkan industri hiburan melalui penulisan mereka.

Wartawan lama juga terhibur dengan majlis khas ini. Dari kiri, Saleha, Suraya, Hartati, Haliza dan Fatimah Abu Bakar.
Wajah riang media dan artis.