Pelakon Aidil Aziz kini  kembali aktif berlakon setelah kerjayanya terhenti seketika semasa disiasat dan didakwa atas kesalahan melibatkan pengedaran dadah tahun lalu.

Aidil yang telah digugurkan daripada kes pengedaran dadah pada Mei lalu kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Vila Ghazara untuk mengisi slot Samarinda di TV3.

Dalam drama 40 episod itu Aidil berlakon sebagai Adrian atau Eddie.

“ADRIAN a.k.a EDDIE #VilaGhazara #DramaSamarinda #Coming Soon #ExcellentPictures,”┬átulis Aidil dalam satu gambar di lokasi penggambaran drama itu menerusi Instagramnya baru baru ini.

Inilah antara drama terawal lakonan Aidil selepas bersih daripada dakwaan melibatkan pengedaran dadah.

Drama terbitan Excellent Pictures itu arahan Feroz Kadir dengan cerita serta skrip oleh pasangan Zul Ahmad dan Amy Aimi.

Semasa ditemui media sebelum ini Aidil atau nama sebenarnya Mohd. Aidil Abdul Aziz, 29, mengakui insiden yang menimpanya itu memberi kesan negatif terhadap kerjayanya.

Dia juga kelihatan rancak mempromosikan produk minuman dan makanan melalui laman sosialnya. Aidil juga kelihatan melibatkan diri dalam aktiviti amal berupa bantuan kepada anak yatim dan asnaf.

“Saya menerima pelbagai tohmahan daripada orang ramai selepas keluar daripada penjara. Ia telah memberi kesan terbesar kepada kerjaya seni saya,” katanya kepada media.

Semestinya Aidil sudah bersedia kembali aktif apatah lagi stesen TV juga sudah menerima saranan penerbit apabila meletakkan namanya dalam senarai pelakon sebelum memulakan penggambaran drama.

Aidil di lokasi penggambaran drama Vila Ghazara.