PELAWAK popular Abam Bocey, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak awal pagi ini kerana demam.

Ia disahkan oleh adiknya Ali dari kumpulan lawak Puteh.

“Isteri Abam, hubungi saya dan beritahu abang saya tidak sedarkan diri. Saya bergegas ke kediamannya dan dia sudah tidak bernafas,” kata Ali.

Sementara itu isteri Abam, Nor Hidayah turut mengesahkan perkara itu.

Hidayah memberitahu Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.

“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.

“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi… pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas ,” katanya.

Abam dan Nor Hidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 5 bulan.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan, 32, merupakan seorang pelawak, pelakon dan ahli kumpulan Bocey bersama Fad dan Acey.