Produser dan pelakon Datuk A. Aida menamatkan alam janda setelah sah bergelar isteri kepada pelakon Ariff Aziz malam ini.
Aida, atau Zaidah Awang, 47, selamat bernikah dengan Wan Izma Ariff Abd. Aziz, 29, di Ballroom, Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya, pukul 9.00 malam ini dengan mas kahwin RM300. Dengan dua kali lafaz di hadapan jurunikah Imam 2, Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Ustaz Mohamad Imran Nasohah, Aida selamat bergelar suri buat kali keempat.
Pengantin lelaki membawa tiga hantaran iaitu wang hantaran RM20,000, cin in Cartier 1.42 karat dan beg tangan Hermes dan dibalas lima oleh pihak perempuan.
Hantaran daripada pengantin perempuan pula jam tangan jenama Hublot, cincin, beg bimbit jenama Louis Vuitton (LV), minyak wangi jenama Chanel serta kuih-muih dan manisan. Aida mengenakan  baju pengantin dari Butik Citra.
A. Aida dan Ariff berkenalan sejak 2015 ketika Ariff bekerjasama dalam projek drama bersama A. Aida. Pada waktu itu belum terbit perasaan sayang namun sejak tiga bulan lalu, barulah perasaan itu hadir di saat Ariff baru putus tunang.
Selepas itu Ariff meluahkan hasrat untuk menjadikan A Aida sebagai isteri dan melihat kepada budi baik, sikapnya yang bertanggungjawab dan sempurna pegangan agamanya, membuatkan A. Aida terbuka hati menerima hajat Ariff itu.
Pada 4 Julai lalu, Ariff membuat kejutan dengan melamar A Aida di sebuah restoran Arab di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan memberikan sebentuk cincin.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai dijadual akan diadakan di rumah peranginan A. Aida di Janda Baik, Pahang pada 20 April 2019 sempena tarikh hari lahir A. Aida.