Penerbit Datuk A. Aida bercerai kali keempat dengan aktor sasa dan muda Ariff Aziz setelah hanya sembilan bulan hidup bersama.

A. Aida dan Ariff bercerai dengan talak satu pada April lalu namun dia enggan mendedahkan punca sebaliknya reda dengan apa yang berlaku.

Hanya tinggal kenangan

“Benar, kami sudah bercerai pada April lalu,” kata A. Aida dalam satu sidang media hari ini.

Cakap cakap pasal mereka mula kedengaran apabila tiada posting foto bersama dalam laman sosial masing masing sejak akhir-akhir ini.

A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 48, memfailkan permohonan cerai pada 4 April lalu, sebelum disahkan berpisah pada 25 April lalu di Mahkamah Syariah Gombak Timur.

“Jodoh pertemuan, ajal maut dalam jagaan Allah SWT. Saya sendiri tidak mahu bercerai berai macam ni, tetapi apa boleh buat.

“Perkahwinan kami hanya bertahan tidak sampai setahun, saya reda,” katanya.

A. Aida dan Arif, 30, bernikah pada 21 Julai tahun lalu di sebuah hotel di Subang Jaya selepas tiga bulan menjalinkan hubungan cinta.

Pasangan berkenaan tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Sebelum berkahwin dengan Ariff, A. Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kumpulan Spring, Ameng pada 1994.

Bagaimanapun, rumah tangga mereka berkecai pada 2003. A. Aida dan Ameng dikurniakan dua orang anak perempuan, Wan Az Aleesa, 22, dan Wan Azevanatassha, 17.

Dia berkahwin lagi dengan seorang anggota polis muda, Azul sebelum kahwin dengan pegawai polis, Sufian Sulaiman pada 2007 dan berpisah jua pada 2013.

Hasil perkahwinan dengan Sufian, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 10.