Malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-29 akan diadakan di PWTC pada 23 September ini. Filem manakah yang akan dinobatkan sebagai filem terbaik? Masih adakah lagi kontroversi pasal pemilihan filem kali ini?

Penganjur, Perbadanan Kemajuan Filem  Nasional (Finas) dah mengambil jalan selamat bagi mengelakkan kontroversi kategori filem terbaik dengan  memansuhkan kategori Filem Terbaik Kebangsaan
dan Filem Terbaik Malaysia yang diwujudkan  tahun lalu.

Ketua Pengarah Finas, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29, Datuk Fauzi Ayob  berkata, hanya satu kategori dikekalkan iaitu  Filem Terbaik.

“Kami mengambil keputusan memansuhkan  kategori itu bagi mengelakkan kontroversi,” kata Fauzi pada sidang media kedua FFM29  yang diadakan di Hotel Park Royal, Kual Lumpur baru-baru ini.

Sebanyak 53 filem dipertandingkan dengan tiada pengumuman calon lima terbaik bagi menggalakkan lebih ramai karyawan hadir pada malam kemuncak nanti. Pengumuman lima calon akhir berkemungkinan mengurangkan kehadiran khususnya nama-nama yang tidak tersenarai pendek.

Terdepat  41 buah filem berbahasa Melayu, enam bahasa Mandarin, lima dalam bahasa Tamil dan selebihnya
berbahasa Inggeris. Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan  Malaysia (WHAM) sekali lagi diberi kepercayaan bekerjasama sebagai rakan promosi bagi acara itu.

Pada malam kemuncak nanti, Finas membawakan tema Transformasi Citra Karya iaitu filem yang bertemakan wajah Malaysia dengan kemampuan untuk mendapat tempat di mata orang luar.

“FFM29 bukan hanya untuk berseronok, tetapi perlu juga diserapkan keilmuan yang boleh ditingkatkan seperti kreativiti dan idea,” kata Fauzi lagi.

Sebab itulah selain acara kemuncak malam anugerah, pelbagai aktiviti berkaitan perfileman diadakan seperti kelas berkaitan senimatografi, apresiasi karyawan muda serta Layar Bintang mengenang tokoh. Ada juga acara yang  membawa pakar dari luar negara untuk berkongsi kemahiran.